My Life 4 Ever

My Life 4 Ever

Friday, April 1, 2011

Bila Aku Cinta


Bila dia kata aku suka kamu, aku juga kata ya aku suka kamu juga tetapi sebagai sahabat. Beri masa tali persahabatan ini terjalin.
Bila dia kata aku rindu kamu, aku kata rindu perlu antara sahabat kerana rindu akan memastikan kamu sentiasa ingat pada aku.
Bila dia kata aku sayang kamu, aku kata sepertimana aku menyayangi persahabatan kita perasaan sayang itu memang akan sentiasa kita rasai di kalangan sahabat-sahabat sejati.
Bila dia kata aku cinta kamu, aku kata cinta itu terlalu meluas maksudnya. Selamilah dahulu makna cinta yang sebenarnya sebelum kita bercakap lebih lanjut lagi akan perkataan ini.
Kemudian dia tidak pernah mengatakan apa-apa lagi pada aku. Dia masih sering aku temui, masih menjadi sahabat aku yang paling sejati, masih lagi berseri wajahnya dengan senyuman dan tawa. Tetapi pada suatu hari dia hulurkan sepucuk nota kepada aku dan berlalu pergi tanpa menoleh lagi. Sehingga kini aku tidak pernah melihatnya lagi.
“Aku tahu kau mencintai aku tetapi kenapa kau tidak buktikannya dengan mendekati aku lebih mesra lagi? Kenapa semakin kau mencintai aku semakin kau menjauhkan diri daripada aku? Desy mencintai aku dan setiap masa yang ada dia pasti akan cuba mendekati aku, cuba untuk bersama dengan aku di mana saja aku berada. Tapi kau, semakin aku cuba mendekati diri mu semakin jauh kau tinggalkan aku. Kenapa? Aku sudah letih dari terus cuba untuk mengenali dan memahami dirimu. Mungkin memang kau ditakdirkan bukan untuk aku…”
Begitulah kata-kata akhir dari dia dan aku telah kehilangan sesuatu yang begitu aku inginkan sebenarnya. Aku sendiri tidak memahami kenapa aku bertindak sedemikian tapi apa yang aku tahu bila aku menjauh maksudnya aku cinta…

Biarlah Aku Menjadi Cinta Terakhir Mu


Telah berulang kali aku nyatakan niat di hati untuk membalut luka hati mu namun kau masih meragui keikhlasan cinta ku. 
Haruskah engkau terus menghukum para pencinta mu hanya kerana seorang kekasih yang tidak setia?
Sayang… bukalah pintu hati mu. Biarlah apa yang telah berlaku kau tinggalkan menjadi sejarah. 
Tidak ku minta kau lupakan sejarah itu kerana sejarahlah yang mengajar kita erti kehidupan hakiki. Namun ku pinta bukalah lembaran sejarah yang baru di hati mu.
 Penuhkanlah ia dengan cerita cinta dan kasih sayang yang baru.
 Aku berjanji sayang tak akan ada lagi air mata sedih yang akan mengalir lewat sepasang mata nan indah itu.
Sayang jangan takut mencuba lagi kerana kegagalan itu bukan untuk selamanya. 
Bila kita membiarkan ketakutan menguasai hati, kita biarkan kegagalan itu datang lagi.
Sayang… cinta pertama bukanlah cinta yang seharusnya abadi. 
Jika ia mampu kekal bersyukurlah tetapi bila ia pergi relakanlah. 
Aku tidak akan mungkin menjadi cinta pertama mu tapi biarkanlah aku menjadi cinta terakhir mu…

Terpenjara Di Alam Maya Cinta

Bila kita dilamun cinta kita sering melupakan sahabat-sahabat kita. 
Bila kita bercinta kita mudah lupakan alam realiti. 
Kita sering terpenjara dalam sangkar alam maya cinta.
 Tanpa sedar kita menyakiti hati mereka yang selama ini setia disisi. 
Begitu rapuhnya cinta kita kepada sahabat-sahabat kita. 
Mungkinkah kerana pada fikiran kita, kita hanya perlu menjaga perasaan kekasih yang baru kita perolehi? Kita seolah-olah lupa sahabat-sahabat kita juga punya hati dan perasaan.
 Kita mencari mereka bila kita sedih, kecewa dan perlukan bahu untuk menangis.
 Tapi mengapa bila kita bahagia kita melupakan mereka?
 Mengapa tidak kita kongsi kebahagiaan itu bersama mereka?
 Luangkan masa bersama para sahabat tidak akan mengurangkan nilai dan rasa kasih kepada kekasih. Namun mengapakah kita sering berfikiran yang sebaliknya? 
Ataukah kita telah bosan bersama dengan sahabat kita yang sentiasa ada bila kita memerlukan? 
Tetapi pelik kita tidak pernah bosan dan jemu kepada kekasih. 
Sedarlah wahai para pencinta. 
Setiap insan disisi kita ada peranan dan kepentingan masing-masing.
 Jangan lupakan sahabat bila kita dipuncak bahagia kerana akan ada suatu masa nanti kita akan jatuh kebawah. 
Sahabat akan menyambut kita dibawah dan membantu kita berdiri semula. 
Tetapi kekasih akan berlalu pergi tanpa menoleh kepada kita semula.